Bersara Bukan Merana

TAJUK ‘Lelaki juga mahu cantik’ dan isu ‘Hormon mudakan lelaki’ yang disiarkan minggu lepas mendapat sambutan amat menggalakkan di kalangan pembaca. Saya menerima banyak panggilan telefon bertanyakan tentang hormon tersebut. Ternyata ramai yang berminat untuk mengetahui lebih lanjut tentang alternatif kepada hormon sintetik untuk merawat beberapa masalah penuaan.

Minggu ini saya ingin berkongsi pengalaman seorang usahawan berjaya berbangsa Tionghua yang telah mencuba beberapa kaedah yang ditawarkan oleh dunia perubatan estetik dalam menjalani usia persaraannya.

Biar pun beliau telah memasuki usia 60-an tetapi tubuhnya masih tegap dan sangat prihatin keadaan tekanan darah dan jumlah gula dalam darahnya. Berbeza dengan sifat beliau yang peramah, isteri usahawan tersebut kelihatan sombong, berwajah tua dan lesu.

Usahawan yang memiliki kekayaan melimpah itu datang ke klinik saya menyatakan hasrat untuk menggunakan kaedah terkini bagi memastikan penampilannya tidak tampak terlalu tua. Beliau datang bersendirian.

Hasil analisis ke atas wajah beliau menunjukkan masalah yang dihadapi beliau sama seperti lelaki-lelaki lain yang seusia dengannya. Saya juga bertanya beberapa soalan dan rumusannya adalah:

  Kulitnya mengalami kesan-kesan penuaan yang sangat ketara. Kandungan hyaluronik dan juga kolagen semulajadi dalam kulitnya sudah semakin berkurangan. Keadaan itu membuatkan kulitnya tampak layu dan mengecut. Masalah itu menjadikan wajahnya tampak jatuh dan muram. Fenomena ini adalah suatu yang lumrah pada usia sebegini.

  Kedutan pada wajah. Wajahnya didapati berkedut pada dahi, di antara dua kening dan juga di tepi mata. Kedutan di bahagian kanan dan kiri bibir juga amat ketara sekali. Usahawan tersebut memberitahu beliau sangat kurang senang melihat garisan di tepi pipi yang amat dalam dan pipi turut tampak cengkung.

  Sejak akhir-akhir ini beliau sering berasa letih dan tertekan, ada kalanya resah dan kemurungan tanpa sebarang sebab.

  Sukar melelapkan mata dan murung meskipun melakukan banyak aktiviti bagi melupakan masalah tersebut.

Rawatan

Bagi mengisi ruang kosong pada pipi dan juga meningkatkan ketegangan wajahnya, saya mencadangkan rawatan menggunakan hyaluronic filler. Selepas itu saya melakukan prosedur face lift iaitu menggunakan teknik modified serdev suture bagi mengangkat wajahnya yang jatuh.

Bagi masalah pigmentasi dan membuang kutil kecil pada kulit (masalah yang sering dialami oleh golongan berusia) saya melakukan rawatan laser.

Hasilnya, wajah beliau berubah sama sekali menjadi lebih muda dan tampak berseri seri.

Untuk mengatasi masalah keletihan dan kemurungan pula saya mencadangkan beliau menggunakan hormon bioidentikal.

Selepas enam bulan menjalani rawatan dan mengamalkan hormon usahawan tersebut kelihatan sepuluh tahun lebih muda dari usianya yang sebenar.

Baru baru ini beliau berkunjung ke klinik saya bersama seorang wanita muda berusia dalam lingkungan 30-an. Wanita cantik bernama Lucy itu turut menjalani rawatan kecantikan dan laser bagi mencantikkan lagi struktur kulitnya. Menurut Lucy dia kagum dengan perubahan pada usahawan tersebut lantas meminta diperkenalkan dengan saya. Ternyata Lucy amat menyukai rawatan yang saya berikan kepadanya. Ternyata wanita itu bersama usahawan tersebut berkongsi minat dan pandangan yang serupa. Masing-masing amat mementingkan penampilan yang sihat dan muda. Bagi saya apabila seseorang itu amat mengambil berat mengenai penampilan dan rupa parasnya ini bermakna beliau mempunyai semangat yang tinggi dalam menjalani kehidupan.

Tidak lama selepas itu saya menerima kunjungan isteri kepada usahawan tersebut. Saya agak terkejut dengan kehadirannya. Beliau yang lokek dengan senyuman berubah menjadi peramah dan mesra. Selama ini beliau mempunyai pandangan yang sangat negatif terhadap perubatan anti penuaan. Beliau juga salah sangka terhadap saya dan menganggap rawatan anti penuaan tidak diperlukan. Kini beliau mengakui memiliki wajah yang tampak muda serta tubuh yang selesa sangat penting bagi dirinya yang kini sudah meningkat usia.

”Saya dulu sangat bodoh,” katanya tanpa segan silu.

”Saya telah melihat kawan-kawan saya telah berjaya mengubah penampilan dan stamina mereka setelah menjalani rawatan dengan doktor,” tambah beliau.

Saya memberi penjelasan secara berhati-hati dan terperinci mengenai rawatan penuaan. Jika wajah saja kelihatan muda namun stamina seperti orang tua pun tidak ada gunanya.

Rawatan anti penuaan mengubah struktur dalaman tubuh kita. Ia meningkatkan hormon tubuh, membuatkan tulang kuat dan jantung menjadi lebih baik lagi. Otot-otot yang mengecut juga akan segar kembali.

Saya mahu membetulkan tanggapannya terhadap rawatan anti penuaan. Tubuh dan perasaan yang muda adalah penting. Orang muda kurang mendapat risiko kanser. Orang muda juga kurang mendapat masalah tulang rapuh dan penyakit nyanyuk. Penyakit darah tinggi dan kencing manis juga mudah sekali melanda orang tua. Mengapakah ini terjadi? Ini kerana apabila tua kita mengalami kekurangan hormon yang ketara.

0 replies

Leave a Reply

Want to join the discussion?
Feel free to contribute!

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *