Berusia Tetap Menarik

Wanita berhemah tinggi itu memperkenalkan dirinya sebagai Azah. Katanya dia sudah lama berhajat untuk bertemu saya dan berbesar hati kerana dapat melaksanakan hasratnya.BARU-baru ini saya dikunjungi wanita berusia 50-an. Tanpa sebarang temujanji, beliau muncul di klinik. Katanya dia datang dari Melaka. Untuk tidak menghampakan hasratnya yang datang dari jauh pembantu saya Amy Lisa terus membawanya berjumpa saya.

Dia datang ditemani anak dan menantunya. “Suami saya banyak urusan. Insya Allah saya ajak dia datang,” jawabnya bila ditanya perihal suaminya.

Azah terus merujuk masalah yang mengganggu kehidupannya sejak akhir-akhir ini. Dia menunjukkan mukanya yang mempunyai banyak garisan dan lekuk di sana-sini. Mulutnya tidak henti-henti bertanya bagaimana mahu mengurangkan garisan tersebut. Dia juga memberitahu telah mencuba pelbagai krim tetapi tidak berhasil.

Saya meneliti wajahnya. Bahagian bawah mata berlekuk tidak sekata. Dalam istilah perubatan estetik masalah tersebut dinamakan eye bag. Garis halus dan kasar memenuhi dahi. Pipinya masih tegang tetapi terdapat kesan lekuk di kiri kanan bibir. Ia memberi kesan wajah murung dan senyuman yang terukir tidak nampak serinya.

Pada mata pula terdapat banyak kesan kedut yang membuatkan dia kelihatan kurang menarik. Mata yang berkedut membuatkan seseorang kelihatan mengantuk. Masalah seperti ini kerap melanda mereka yang berkulit kering. Oleh kerana kelembapan kulit sukar dikawal, kulit akan tampak cepat tua dan berkedut. Mereka yang kulit berminyak pula beruntung kerana lambat sedikit mengalami masalah kulit berkedut.

”Saya tahu saya dah tua. Saya pun bukan nak jadi muda tapi saya tak suka bila semua orang yang memandang saya pasti bertanya kenapa saya kelihatan terlalu sedih. Padahal

saya seorang yang riang. Agaknya air muka saya melambangkan kesedihan. Garis-garis pada wajah saya menyebabkan saya kelihatan seperti orang runsing. Cuba tengok garis pada kening saya . Ia membuatkan wajah saya tampak berkerut sentiasa,” panjang celoteh nenek kepada sepuluh cucu itu.

Penampilannya juga menyebabkan dia digeruni oleh cucu-cucunya.

Memang benar kita semua tidak dapat lari daripada menjadi tua namun wajah yang terlalu berkedut amat tidak menyenangkan dan membuat seseorang mudah berasa rendah diri.

Saya menerangkan kepada beliau wajah kita umpama topeng muka. Ia boleh kelihatan manis atau masam bergantung kepada garisan dan lekuk pada muka. Wajah melambangkan perasaan muka. Kita dianugerahkan mimik muka bagi menzahirkan apa yang kita rasa menerusi wajah.

Apa yang perlu dilakukan adalah menaikkan pipi dan menghapuskan garisan yang amat ketara itu. Jika kita meletakkan semula kedudukan pipi dan mulut ke aras yang sepatutnya, maka sudah tentu muka akan tampak manis dan seolah-olah tersenyum. Justeru garisan dan lekuk pada wajah perlu dibetulkan jika seseorang mahu kelihatan berwajah riang.

Apabila usia meningkat, otot otot muka akan kendur dan menjadi kurang elastik di samping kolagen semulajadi juga akan hilang. Pigmentasi mula berlaku terutamanya pada kedua pipi. Hal ini terjadi kerana faktor kekurangan hormon progestron dalam badan.

Rawatan

Saya membuat rawatan secara berperingkat untuk membantu Azah mengatasi masalah yang dihadapinya.

Peringkat pertama adalah memasukkan filler hyaluronic bagi menggantikan semula kolagen yang hilang dari kulit.

Dengan hyaluronik filler saya mula mengisi ruang kosong akibat kehilangan kolagen.

Hasilnya wajah Azah kelihatan kembali tegang. Lekuk-lekuk yang membuat muka tampak kendur lenyap dan wajah kembali segar. Langkah kedua adalah dengan teknik serdev suture (telah diulas dalam isu-isu sebelum ini) untuk mengangkat semula kulit wajah kendur.

Selepas serdev suture, pipi kelihatan terangkat ke kedudukan yang lebih tinggi sedikit dan kening yang jatuh turut terangkat dengan cantik.

Selepas itu saya menggunakan anti kedutan bagi menghapuskan kesan kedutan dan laser resurfacing bagi meningkatkan keanjalan wajah.

Terdapat banyak jenis hyaluronik yang boleh digunakan untuk mencantikkan struktur wajah dan tubuh badan seseorang. Ada sistem hyaluronik yang boleh bertahan selam enam bulan, setahun dan terdapat juga yang bertahan selama lima tahun. Ketahanannya bergantung kepada jalinan asid hyaluronik yang digunakan.

Hormon bioidentical

Bagi meningkatkan paras hormon wanita menopaus, saya mencadangkan penggunaan hormon bioidentical yang mudah iaitu secara sapuan sahaja bagi menggantikan hormon yang berkurangan dalam tubuh.

Apabila hormon rendah seorang wanita akan berasa agak tertekan perasaannya, murung dan bosan meskipun tiada sebab yang munasabah. Apabila paras hormon ditingkatkan dia akan berasa lapang dan kembali ceria.

Scroll to Top