Bersara Bukan Merana

TAJUK ‘Lelaki juga mahu cantik’ dan isu ‘Hormon mudakan lelaki’ yang disiarkan minggu lepas mendapat sambutan amat menggalakkan di kalangan pembaca. Saya menerima banyak panggilan telefon bertanyakan tentang hormon tersebut. Ternyata ramai yang berminat untuk mengetahui lebih lanjut tentang alternatif kepada hormon sintetik untuk merawat beberapa masalah penuaan.

Minggu ini saya ingin berkongsi pengalaman seorang usahawan berjaya berbangsa Tionghua yang telah mencuba beberapa kaedah yang ditawarkan oleh dunia perubatan estetik dalam menjalani usia persaraannya.

Biar pun beliau telah memasuki usia 60-an tetapi tubuhnya masih tegap dan sangat prihatin keadaan tekanan darah dan jumlah gula dalam darahnya. Berbeza dengan sifat beliau yang peramah, isteri usahawan tersebut kelihatan sombong, berwajah tua dan lesu.

Usahawan yang memiliki kekayaan melimpah itu datang ke klinik saya menyatakan hasrat untuk menggunakan kaedah terkini bagi memastikan penampilannya tidak tampak terlalu tua. Beliau datang bersendirian.

Hasil analisis ke atas wajah beliau menunjukkan masalah yang dihadapi beliau sama seperti lelaki-lelaki lain yang seusia dengannya. Saya juga bertanya beberapa soalan dan rumusannya adalah:

  Kulitnya mengalami kesan-kesan penuaan yang sangat ketara. Kandungan hyaluronik dan juga kolagen semulajadi dalam kulitnya sudah semakin berkurangan. Keadaan itu membuatkan kulitnya tampak layu dan mengecut. Masalah itu menjadikan wajahnya tampak jatuh dan muram. Fenomena ini adalah suatu yang lumrah pada usia sebegini.

  Kedutan pada wajah. Wajahnya didapati berkedut pada dahi, di antara dua kening dan juga di tepi mata. Kedutan di bahagian kanan dan kiri bibir juga amat ketara sekali. Usahawan tersebut memberitahu beliau sangat kurang senang melihat garisan di tepi pipi yang amat dalam dan pipi turut tampak cengkung.

  Sejak akhir-akhir ini beliau sering berasa letih dan tertekan, ada kalanya resah dan kemurungan tanpa sebarang sebab.

  Sukar melelapkan mata dan murung meskipun melakukan banyak aktiviti bagi melupakan masalah tersebut.

Rawatan

Bagi mengisi ruang kosong pada pipi dan juga meningkatkan ketegangan wajahnya, saya mencadangkan rawatan menggunakan hyaluronic filler. Selepas itu saya melakukan prosedur face lift iaitu menggunakan teknik modified serdev suture bagi mengangkat wajahnya yang jatuh.

Bagi masalah pigmentasi dan membuang kutil kecil pada kulit (masalah yang sering dialami oleh golongan berusia) saya melakukan rawatan laser.

Hasilnya, wajah beliau berubah sama sekali menjadi lebih muda dan tampak berseri seri.

Untuk mengatasi masalah keletihan dan kemurungan pula saya mencadangkan beliau menggunakan hormon bioidentikal.

Selepas enam bulan menjalani rawatan dan mengamalkan hormon usahawan tersebut kelihatan sepuluh tahun lebih muda dari usianya yang sebenar.

Baru baru ini beliau berkunjung ke klinik saya bersama seorang wanita muda berusia dalam lingkungan 30-an. Wanita cantik bernama Lucy itu turut menjalani rawatan kecantikan dan laser bagi mencantikkan lagi struktur kulitnya. Menurut Lucy dia kagum dengan perubahan pada usahawan tersebut lantas meminta diperkenalkan dengan saya. Ternyata Lucy amat menyukai rawatan yang saya berikan kepadanya. Ternyata wanita itu bersama usahawan tersebut berkongsi minat dan pandangan yang serupa. Masing-masing amat mementingkan penampilan yang sihat dan muda. Bagi saya apabila seseorang itu amat mengambil berat mengenai penampilan dan rupa parasnya ini bermakna beliau mempunyai semangat yang tinggi dalam menjalani kehidupan.

Tidak lama selepas itu saya menerima kunjungan isteri kepada usahawan tersebut. Saya agak terkejut dengan kehadirannya. Beliau yang lokek dengan senyuman berubah menjadi peramah dan mesra. Selama ini beliau mempunyai pandangan yang sangat negatif terhadap perubatan anti penuaan. Beliau juga salah sangka terhadap saya dan menganggap rawatan anti penuaan tidak diperlukan. Kini beliau mengakui memiliki wajah yang tampak muda serta tubuh yang selesa sangat penting bagi dirinya yang kini sudah meningkat usia.

”Saya dulu sangat bodoh,” katanya tanpa segan silu.

”Saya telah melihat kawan-kawan saya telah berjaya mengubah penampilan dan stamina mereka setelah menjalani rawatan dengan doktor,” tambah beliau.

Saya memberi penjelasan secara berhati-hati dan terperinci mengenai rawatan penuaan. Jika wajah saja kelihatan muda namun stamina seperti orang tua pun tidak ada gunanya.

Rawatan anti penuaan mengubah struktur dalaman tubuh kita. Ia meningkatkan hormon tubuh, membuatkan tulang kuat dan jantung menjadi lebih baik lagi. Otot-otot yang mengecut juga akan segar kembali.

Saya mahu membetulkan tanggapannya terhadap rawatan anti penuaan. Tubuh dan perasaan yang muda adalah penting. Orang muda kurang mendapat risiko kanser. Orang muda juga kurang mendapat masalah tulang rapuh dan penyakit nyanyuk. Penyakit darah tinggi dan kencing manis juga mudah sekali melanda orang tua. Mengapakah ini terjadi? Ini kerana apabila tua kita mengalami kekurangan hormon yang ketara.

Diet Tapi Masih Gemuk

Diet Tapi Masih Gemuk

SERINGKALI mereka yang mengidap obesiti terpaksa berpura pura gembira dengan keadaan diri mereka. Adakalanya golongan itu cuba menunjukkan obesiti adalah jalan hidup pilihan mereka. Cepat-cepat mereka memberi alasan mengapa jadi begitu sambil di hati berazam untuk menjaga diet dan cuba kembali kurus. Namun azam dan diet sahaja tidak mencukupi sekiranya tidak diikuti dengan usaha gigih dan kaedah yang betul untuk merealisasikan impian.

Tak kurang juga yang sudah enggan melakukan sebarang usaha untuk kurus. Antara alasan yang sering kedengaran:

 Lepas bersalin badan naik dan susah nak turun.

  Badan memang tak boleh kurus sebab keturunan.

  Tiada masa untuk bersenam.

  Suami tidak kisah gemuk.

Kitaran menahan makan diikuti dengan patah azam dan gelojoh makan membawa kesan yang tidak baik kepada badan dari segi kesihatan.

 

Mengapa kitaran lapar dan kenyang berlaku?

Pada otak kita terdapat saraf pusat yang mengawal rasa lapar dan kenyang. Badan seseorang yang menahan lapar akan mengeluarkan hormon dan transmitter dari otak sebagai tindak balas terhadap pengurangan makan. Dengan kata lain otak kita seolah olah menuntut kembali kesedapan yang biasa diperolehi oleh tubuh kita. Ia mahukan jumlah kalori dan gula yang tinggi untuk berasa sedap dan selesa. Ini adalah sistem tubuh yang cuba menghalang lemak daripada digunakan.Apabila perut tidak diberi makanan yang biasa diperolehi dalam tempoh tertentu, otak akan mengeluarkan signal bahawa ia lapar. Badan akan memberontak dan mengeluarkan enzim dan hormon tertentu. Ini menyebabkan berlakunya keinginan tidak terkawal atau craving terhadap sesuatu makanan. Keinginan tersebut bukan disebabkan oleh nafsu makan tetapi merupakan signal dari otak kita yang tidak mampu dikawal oleh kita sendiri.

Badannya memberontak dan mengeluarkan hormon dan enzim tertentu menyebabkan seseorang itu menjadi ghairah untuk makan. Ia ibarat seekor harimau ganas yang sukar

untuk dikalahkan. Berperang dengan nafsu makan boleh menjadikan seseorang resah dan lemah.Akhirnya dia mengikut kehendak nafsunya. Dia makan tanpa sedar bahawa makanan itu sudah berlebihan. Jadi pusingan berlapar yang diikuti dengan keghairahan untuk makan berterusan sehingga akhirnya menyebabkan seseorang tersepit dan tidak berdaya untuk keluar daripada belenggu obesiti.

Kurus demi kesihatan

Umum mengetahui adalah sangat perlu untuk mengekalkan berat badan yang sepatutnya bukan saja supaya agar kelihatan cantik tetapi juga demi kesihatan. Kesihatan merupakan sebab yang terpenting agar seseorang memperolehi berat badan yang sesuai dengan ukuran rangka badan iaitu berat badan unggul. Kebanyakan teknik yang ditawarkan oleh pusat pelangsingan memperlihatkan kejayaan sementara.Banyak kajian telah membuktikan prinsip-prinsip bagi mengurang berat badan dan mengawal daripada berlakunya pertambahan berat badan bukan hanya dengan berdiet semata mata. Ia perlu mengikut kaedah saintifik dan bukanlah secara paksaan sehingga mendera tubuh badan anda.Anda perlu menyayangi diri anda dan mendengar bisikan hati nurani anda. Jika anda memberi tubuh anda apa yang ia perlukan ia akan selesa dan anda akan merasa gembira melalui hari-hari berdiet dengan penuh nikmat. Saya akan mengupas persoalan ini sehingga ke hujungnya dan berharap anda mengikuti ruangan saya setiap minggu. Ini kerana setiap artikel akan mengetengahkan konsep penting yang bakal anda guna pakai untuk menguruskan badan.

Apakah BMR

BMR adalah Basal Metabolic Rate. Maksudnya penggunaan tenaga bagi tubuh semasa kita berehat. Tenaga tetap diguna meskipun kita berehat atau tidur kerana pergerakan jantung usus dan lain lain tetap mengguna tenaga. Namun BMR yang rendah membuatkan banyak tenaga dikumpul menjadi lemak.

Mereka yang mempunyai kadar BMR yang rendah perlu menyedari hakikat ini dan mengambil langkah-langkah meningkatkannya. Antara yang boleh dilakukan adalah dengan mengamalkan senaman, mengambil makanan beralkali tinggi dan sentiasa mengamalkan gaya hidup sihat dengan pengambilan makanan yang mempunyai nilai glysemic rendah dan rendah kalori. Contoh-contohnya akan diterangkan pada minggu seterusnya.

 

Sila jawab soalan berikut. Jika jawapan anda YA maka anda mengalami masalah BMR yang rendah.

  Apabila diet berat tidak turun

  Berat naik mendadak apabila makan lebih

  Sukar senaman kerana berasa terlalu letih bila bersenam

  Gemarkan makanan berkarbohidrat dan manis

  Mudah lapar

  Makan sedikit tetapi cepat gemuk

  Tekak inginkan makanan yang manis

  Lapar pada waktu malam

Punca BMR rendah

  Tidak cukup senaman. Senaman yang dimaksudkan adalah senaman ringkas merenggangkan tubuh badan. Senaman meningkat metabolisma akan diterangkan dalam isu akan datang.

  Hypothyroid. Fenomena ini melanda hampir separuh penduduk dunia. Apabila hypothyroid menyerang, seseorang akan mengalami peningkatan berat badan, berasa malas, keletihan, berat badan tidak turun meskipun berdiet, setiap pergerakan menjadi lambat, rambut juga mudah berkelemumur dan fungus mula menyerang.

  Kekurangan insulin. Insulin merupakan hormon paling penting dalam penukaran gula kepada tenaga. Dalam kes ini lemak yang terhasil cenderung berkumpul pada perut dan belakang badan.

  Kesilapan memilih makanan dengan glycemic indeks tinggi menyebabkan kadar metabolisme menjadi rendah.

Lemak Di Sana Sini

Lemak Di Sana Sini

Tahun lepas dia menghabiskan RM10,000 di sebuah pusat pelangsingan dengan harapan dapat menyusutkan badan yang mengembang. Penurunan berat badan yang diperolehi hanya bersifat sementara sahaja. Tahun ini berat badannya naik kembali dengan cepat. ZURA berasa risau dengan keadaan tubuhnya yang semakin gemuk. Baju-baju yang dibeli pada tahun lepas semakin sendat. Melihat baju-bajunya yang dibeli tiga tahun lalu, Zura dapat merasakan perbezaan yang ketara. Ternyata tubuhnya semakin mengembang. Tahun demi tahun ‘pengembangan’ itu semakin ketara.

Tubuhnya mengumpul lemak di belakang, lengan perut dan bahagian pinggang. Untuk memakai korset juga amat sukar kerana tubuhnya yang mengembang berasa amat tidak selesa dan ketat di sana-sini. Apabila memakai tudung dia juga dapat merasakan wajahnya seolah-olah menjadi bengkak.

Sejak kebelakangan ada sesuatu yang menjadi kebimbangannya. Beliau berasa sukar menelan. Makanan yang ditelan seolah-olah tersengkang di kerongkong. Apabila menelan sebiji panadol dia merasakan seolah-olah panadol itu terlekat di tekaknya. Tekaknya juga berasa loya dan mulut seolah-olah berbau biarpun telah berkumur lama.

Zura bertekad untuk melakukan senaman. Sewaktu di universiti dia amat gemar bersukan namun kini setiap kali dia cuba melakukan senaman tubuhnya terasa amat berat. Aktiviti senaman menjadi amat membosankan. Lama kelamaan dia menghentikan banyak aktiviti yang digemarinya. Masalah sering bosan melanda dirinya. Dia juga berasa bosan untuk berjalan-jalan atau bersiar-siar dengan keluarga. Dia memaksa diri demi membahagiakan keluarga. Zura juga kurang bertemu kawan-kawannya. Wanita yang cantik dan gemar bergaya kini hilang dari pandangan. Yang tinggal ialah seorang wanita yang gemuk dan murung. Wanita itu bagaikan kehabisan tenaga. Setiap hari dia tercari-cari bagaimanakah cara untuk keluar dari kepompong itu. Apakah yang terjadi? Penyakit apakah ini? Setiap kali bertemu doktor, laporan perubatan menunjukkan paras tekanan darahnya dan kandungan gula dalam darah rendah.

Masalah Zura sememangnya disebabkan paras metabolisme yang rendah. Banyak faktor yang mencetuskan hal ini. Di dalam tubuh kita terdapat hormon dan enzim yang menukarkan lemak kepada tenaga. Apabila hormon dan enzim merosot maka proses ini terhalang. Sebab utama yang mengganggu kelenjar hormon adalah tekanan atau stres.

Bayangkan jika anda mahu membakar sampah setinggi gunung dengan hanya 10 batang anak mancis. Selepas mancis pertama dinyalakan ia hanya mampu membakar sedikit sahaja sampah itu. Apabila angin kencang atau hujan maka nyalaan itu padam dan anda terpaksa menyalakan yang lain pula. Akhirnya setelah 10 mancis habis dinyalakan sampah setinggi gunung belum dapat dihapuskan. Lori sampah datang dan menambahkan lagi sampah yang sedia ada.

Begitulah tubuh kita. Apabila berdiet bahan pembakar lemak yang sedikit tidak mampu menghilangkan lemak. Selepas sedikit penurunan berat badan, maka kadar metabolik merosot kerana tidak cukup bahan bakar itu. Setelah penambahan hormon metabolik barulah proses diet menjadi efektif.

Minggu lepas saya telah menghuraikan dua masalah metabolik yang utama mengikut keadaan tubuh seseorang. Setiap rawatan adalah berbeza mengikut masalah yang dihadapi. Minggu ini saya akan menghuraikan tiga lagi masalah metabolik yang mengakibatkan kegemukan.

1) Pengumpulan lemak pada muka.

Masalah pengumpulan lemak pada muka dan belakang leher. Biasanya tangan dan kaki adalah agak kecil. Perut mungkin membesar sedikit dan terdapat banyak kesan rekahan. Rekahan ini di namakan striae. Sekali pandang ia kelihatan striae yang sering muncul pada perut wanita hamil. Keadaan seperti ini dinamakan cushinoid. Ia mungkin terjadi kerana faktor steroid yang tinggi dalam tubuh. Stimulasi adrenal sering membuatkan masalah ini menjadi-jadi. Besar kemungkinan faktor mengamalkan ubat-ubatan menyebabkan stimulasi pada kelenjar adrenal yang berlebihan. Banyak ubat pelangsing mencetuskan stimulasi yang sebegini. Pada jangka panjang mereka yang mengamalkan ubat sebegini mengalami masalah muka yang kelihatan bengkak.

2) Pengumpulan lemak pada perut dan pinggang sahaja

Bagi lelaki, masalah ini berlaku disebabkan sel-sel tidak sensitif kepada insulin. Tubuh jenis ini berisiko mendapat kencing manis. Sel sel dalam tubuhnya tidak efektif terhadap insulin menyebabkan insulin dikeluarkan dengan banyak. Kesan insulin yang banyak akan membuatkan gula di dalam tubuh menjadi rendah dan tenaga menjadi lemah. Mereka juga kerap berasa lapar. Oleh itu mereka akan kerap makan. Akibat kerap makan maka berat semakin bertambah. Mereka juga kerap merasa berdebar-debar dan mungkin berdarah rendah. Paras gula yang rendah membuatkan mereka lebih senang berehat sahaja.

 

Golongan ini lebih suka makan dan minum minuman yang banyak gula. Apabila mengambil makanan manis mereka berasa sedikit segar dan sebentar kemudian lemah kembali menyebabkan mereka kerap makan. Golongan ini mudah stres dan pergerakan juga agak lambat.

3) Pengumpulan lemak pada punggung.

Masalah pengumpulan lemak pada punggung berlaku akibat kelebihan hormon gonadal. Ia mungkin berlaku pada lelaki mahu pun wanita. Kelebihan hormon gonadal atau hormon seks membawa kepada pengumpulan lemak ada kawasan ini. Mereka yang mengalami masalah ini disarankan mengambil hormon bloker dan juga mengelak daripada mengambil makanan seperti organ dalaman haiwan yang kaya dengan hormon seperti ini. Hormon yang dimaksudkan ialah estrogen. Bagi lelaki adalah baik jika mereka meningkatkan paras hormon testosteron dalam tubuhnya dan bagi wanita pula rawatan penggantian hormon adalah sesuai.